DISEMBER 2024

Premier Sarawak Seru Kerjasama Strategik Dalam Pertanian Dan Pembangunan Kapit


KAPIT, 8 Disember – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, menegaskan pentingnya kerjasama strategik dalam sektor pertanian serta pembangunan berterusan di Kapit sebagai simbol perpaduan dan kemakmuran negeri.

Berucap sempena Sambutan 100 Tahun Perjanjian Damai Kapit 1924-2024 di Fort Sylvia, beliau mencadangkan usahasama dengan Kemboja dalam membangunkan industri pemprosesan padi bagi meningkatkan jaminan makanan di Sarawak.

“Kemboja menghasilkan 8 juta tan beras tetapi mereka tiada kilang untuk memproses beras. Mereka hantar ke Vietnam dan Thailand. Jadi, saya kata kepada Perdana Menteri Kemboja, apa kata kita kerjasama, kita buat kilang memproses beras di sana, dan kita juga buat kilang memproses beras kita di sini. Kita boleh bekerjasama dalam sektor pertanian padi,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan isu perubahan iklim yang boleh memberi kesan besar kepada bekalan makanan global.

“Masalah dunia hari ini ialah perubahan iklim. Bayangkan kalau kita tiada beras. Import dari Vietnam pun mungkin terjejas disebabkan ribut atau banjir di sana. Begitu juga dengan India, yang turut menghadapi kesan perubahan cuaca. Kalau esok hari kita tidak ada beras kerana kita bergantung pada import, maka laparlah kita. Sebab itulah kerajaan Sarawak kini menumpukan perhatian kepada industri pertanian, khasnya padi,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Premier turut mengumumkan pelan pembangunan baharu di Kapit yang melibatkan transformasi tapak balai polis lama menjadi kawasan hijau yang dikenali sebagai Kapit Square.

“Balai polis lama di sini tidak lama lagi akan berpindah ke lokasi baru. Kita akan bangunkan Kapit Square di kawasan ini sebagai kawasan hijau dengan sejarah tertentu. Kapit adalah lokasi penting Upacara Menandatangani Perjanjian Damai dahulu, dan kita perlu modenkan kawasan ini sebagai simbol perpaduan, bukan sahaja untuk Kapit tetapi juga Sarawak,” katanya.

Beliau juga berjanji untuk berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, bagi mendapatkan peruntukan pembangunan.

“Kapit akan menjadi kawasan penting di pedalaman dengan kemudahan moden. Kita juga akan memastikan Kapit dihubungkan dengan jaringan jalan raya yang mencerminkan kemakmuran ekonomi kawasan ini dan seluruh pedalaman Sarawak,” ujarnya lagi.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Bapak Raden Sigit Witjaksono; Penasihat Utama Jawatankuasa Pengelola Induk dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Leonard Linggi Tun Jugah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.